Senin, 30 Mei 2011

13. Kitab-kitab Hadis Dan Tingkatannya

13.Kitab-kitab Hadis Dan Tingkatannya ;

Kitab-kitab Hadis yang biasa disebut di dalam mengemukakan alasan untuk menentukan sesuatu hukum agama itu terdapat banyak sekali, tetapi yang masyhur di antaranya ialah Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Jami’ Tirmizi, Shahih Ibnu Hibban, Shahih Ibnu Khuzaimah, Al-Muwaththa’ Malik, Sunan Abu Daud, Sunan Ibnu Majah, Sunan Nasa’I, Sunan Baihaqi, Al-Mustadrak Hakim, Musnan Ahmad, Al-Mu’jam Thabrani (terdiri daripada Shaghir, Awsath dan Kabir) dan Shahih Ibnu ‘Awanah.

Dari huraian di atas dapat kita ketahui bahawa di antaranya ada yang disebut Musnad, Sunan atau tidak menggunakan kedua-dua kata tersebut.



Perbezaan di antara Musnad dan Sunan adalah seperti berikut ;

Pertama ; Musnad ertinya yang disandarkan sebagaimana yang telah kita ketahui hurainya pada nombor 7. Apa yang dikatakan sebagai Musnad Ahmad misalnya, ialah Hadis-hadis yang dikumpulkan oleh Imam Ahmad bin Hambal, sedang cara pengumpulannya ialah tiap-tiap Hadis yang diriwayatkan oleh para sahabat adalah secara berurutan. Misalnya sahabat Ibnu Abbas, lalu Ibnu Umar, Aisyah, Abu Hurairah dan semikian seterusnya.

Oleh kerana itu Kitab Hadis yang bernama Musnad, fasal-fasalnya tidak berurutan seperti kitab Fekah, umpamanya mengenai thaharah dahulu, diikuti dengan bab solat, bab zakat, bab puasa, bab haji, muamalat dan lain-lain, serta diteruskan dengan bab munakahat, jenayah dan lain-lain. Bab-bab di dalam Musnad itu adalah mengenai perihal rawi-rawinya yang diutamakan, maka didalamnya terdapat fasal Aisyah, fasal Abdullah bin Umar, fasal Abu Hurairah, fasal Abdullah bin Abbas dan seterusnya bermula dengan rawi yang terbanyak meriwayatkan Hadis sampai yang paling sedikit.

Kedua ; Sunan adalah kitab-kitab Hadis yang mana bab-bab yang terdapat didalamnya adalah secara berurutan mengikut fasal-fasal yang berhubungan dengan Fekah seperti Thaharah, Mu’amalat, Munakahat, Jinayah (jenayah) dan lain-lain.

Terdapat juga kitab Hadis yang tidak disebut sebagai musnad ataupun sunan, maka cara fasal-fasal disusun adalah berbeza-beza, ada yang menyerupai musnad dan ada pula yang menyerupai sunan.

Sebagai makluman, diantara semua kitab-kitab yang masyhur di atas, yang lazim dinamakan ‘Ummahatu kutubil Hadis’ atau ‘Induk kitab-kitab Hadis’, maka yang boleh dijamin untuk dijadikan pegangan atau pedoman dalam menentukan sesuatu hukum adalah Shahih Bukhari dan kemudian Shahih Muslim (sebagai makluman, penentuan hukum yang paling utama adalah berdasarkan kepada Al-Quran kemudian barulah kepada Hadis, Cuma apabila kita membincangkan mengenai Hadis maka penentuan hukum melalui Al-Quran dan lain-lain tidak dibincangkan di dalam bab ini) sebab didalam kedua-dua kitab ini, semua Hadis-hadis yang terkandung didalamnya sudah diteliti perihal keshahihannya oleh para ahli Hadis. Adapun yang lain-lain adalah bercampur-baur dengan berbagai taraf Hadis.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar