HUJJATUL ISLAM - IMAM AL-GHAZALI
Nama sebenarnya ialah Muhammad Bin Muhammad Bin Muhammad Bin Ahmad Al-Ghazali. Beliau lahir di Tusia Khurasan pada tahun 450 Hijrah/1058 Masihi. Ayahnya adalah seorang pemintal benang (al-ghazul) dan menjualnya di pasar Tusi. Oleh kerana ini beliau dinisabkan kepada Ghazali.
Pada permulaannya, beliau mempelajari Fekah di negerinya sendiri dengan Syeikh Ahmad Bin Muhammad Ar-Razikani. Setelah itu barulah beliau mengembara ke berbagai tempat untuk belajar dengan ulama-ulama yang terkenal pada zamannya dan di antaranya kepada Imam Al-Haramain dan setelah itu menjadi orang alim di dalam Mazhab As-Syafie. Al-Ghazali berangkat ke Al-Askar dan disitu beliau diangkat menjadi guru di Institusi Pengajian Tinggi Nizamiah.
Beliau telah mengerjakan haji pada tahun 488H dan setelah itu terus ke Palestin mengunjungi Batul Maqdis dan kemudian ke Damsyik dan menetap di Masjid Umawi di kota tersebut. Di suatu sudut sufat (serambi) masjid itulah Al-Ghazali menyusun kitab Ihya’ Ulumuddin yang terkenal ini.
Setelah puas di dalam pengembaraan pencarian ilmunya, Imam Al-Ghazali kembali ke kampung halamannya Tusia. Maka beliau telah mendirikan sebuah madrasah di samping rumahnya untuk ulama-ulama Fekah dan sebuah pondok untuk kaum sufi. Al-Ghazali membahagikan waktunya untuk membaca Al-Quran, membimbing kaum tasawuf dalam kerohanian, megajar ahli-ahli Fekah, mendirikan solat, zikir dan mengarang. Pembahagian waktu tersebut dijalaninya dengan penuh disiplin dengan mengendalikan nafsunya sehingga dia meninggal dunia pada 14 Jamaddil Akhir 505 Hijrah/1111 Masihi di Tusia.
Semoga Allah merahmati roh beliau, Al-Fatihah.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar