Selasa, 03 Agustus 2010

Sahabat 4 - Ali bin Abu Talib

Sahabat 4 – Ali bin Abu Talib (Yang Berani)

Ali bin Abu Talib dilahirkan di Mekah pada tahun 598 Masihi, lebih kurang 10 tahun sebelum Nabi diangkat menjadi rasul. Bapa Ali iaitu Abu Talib, adalah bapa saudara Nabi. Semasa Nabi menjadi anak yatim, baginda telah dibela oleh datuknya dan selepas datuknya meninggal dunia Nabi dibela oleh Abu Talib. Justeru, Ali dan nabi merupakan sepupu. Semasa nabi dilantik menjadi rasul, Ali merupakan kanak-kanak pertama yang memeluk Islam. Semasa peristiwa hijrah berlaku, Ali mengambil risiko tidur di katil nabi lantas berjaya mencegah satu percubaan membunuh nabi. Pada masa itu Ali yang berumur 23 tahun diarahkan nabi supaya tidur ditempat tidur baginda bagi memperdaya musuh. Nabi bersabda “Wahai Ali, pada malam ini tidurlah di atas katil aku dan gunakanlah selimut ini” Ali melaksanakan perintah nabi tanpa sebarang soalan atau keluh kesah walaupun nyawanya sendiri terancam. Selepas berlakunya perang Badar, beliau mengahwini Fatimah Az-Zahra, puteri nabi.

Ali merupakan Khalifah Islam ke-empat selepas Usman bin Affan dan jangkamasa pemerintahannya adalah selama empat tahun tujuh bulan. Beliau mati dibunuh oleh Abdul Rahman bin Muljam, seorang khawarij pada usia 63 tahun pada tanggal 21 Ramadhan tahun 40 Hijrah.

Antara sifat unggul yang ada pada Ali adalah dari sudut keberaniannya. Semasa perang tanding didalam Peperangan Badar. Pihak Quraisy mengetengahkan 3 orang pahlawan mereka iaitu Utbah bin Rabiah, Syaibah bin Rabiah dan Walid bin Utbah. Pihak Islam pula mengetengahkan Ubaidah bin Haris, Hamzah dan Ali, pada ketika itu Ali berumur 25 tahun dan berjaya menewaskan musuhnya.

Manakala di dalam Peperangan Khandak pada tahun ke 5 Hijrah, umat Islam berjaya membina sebuah parit besar yang memisahkan tentera-tentera Islam dan tentera kafir pada masa itu. Namun terdapat juga tentera kafir yang berjaya menembusi parit besar itu dan salah seorang daripada mereka adalah pahlawan Arab Quraisy yang sangat digeruni bernama Amru bin Abdul Wud. Semasa menghampiri tentera Islam beliau bertempik mencabar perang tanding dengannya. Ali lantas bangun beberapa kali bagi menyahut cabaran tetapi setiap kali dia bangun beliau dilarang oleh nabi memandangkan lawannya itu bukan calang-calang orang. Akhirnya nabi mengizinkan juga Ali berlawan dengan Amru dengan menggunakan pedang Zulfaqar. Semasa perang tanding Ali telah berjaya membunuh lawannya itu. Sewajarnya keberanian Ali menjadi contoh kepada kita semua.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar