Rabu, 04 Agustus 2010

Ilmuan Islam - Biografi Ringkas Hassan Al-Banna

HASSAN AL-BANNA

Hassan Al-Banna dilahirkan pada oktober 1906 di perkampungan al-Mahmudiya yang terletak di daerah al-Bahriyyah, Iskandariah, Mesir. Bapanya bernama Sheikh Ahmad ibn Abd al-Rahman al-Banna. Bapanya adalah seorang ulama, guru, imam dan penulis beberapa buah kitab hadis dan feqah perundangan Islam. Bapa beliau seorang yang terpelajar dan lulusan Universiti al-Azhar Mesir.

Bagi menyara kehidupan keluarga, bapanya bekerja sebagai tukang pembaik jam di tempat tinggalnya. Di dalam kalangan penduduk kampung, bapanya dihormati kerana dia seorang yang bersopan santun, merendah diri, pemurah dan berperibadi tinggi. Bapanya juga mengajar ilmu-ilmu agama kepada penduduk setempat yang berminat. Kehidupan mereka sekeluarga hanya sederhana.

Hassan al-Banna adalah anak sulung daripada lima orang adik-beradik. Beliau sering mengikut bapanya membuat perbincangan mengenai hal-hal agama. Keadaan ini menyebabkan Hassan al-Banna terikut-ikut dan mewarisi pemikiran dan perwatakan bapanya itu.

Sejak dari bangku sekolah lagi bakat kepimpinan beliau telah terserlah dan beliau telah dilantik menjadi pemimpin Badan Latihan Akhlak dan Jemaah al-Suluka al-Akhlaqi di sekolahnya. Hasil didikan bapanya, beliau telah berjaya menghafaz Quran dan seterusnya memasuki Pusat Latihan Perguruan dan menjadi pelajar cemerlang serta sering mendapat tempat pertama di dalam peperiksaan.

Kepintarannya itu menyebabkan Hassan al-Banna telah berjaya melanjutkan pelajarannya ke Darul Ulum di Kaherah pada umur 17 tahun. Pada masa itu, keadaan politik di Kaherah sedang bergolak. Fahaman secular yang disebarkan oleh Kamal Atartuk menentang aliran Islam di sana. Pada masa itu fahaman sekular berleluasa di sana bertujuan bagi melemahkan pengaruh Islam.

Keadaan ini telah menarik minat Hassan al-Banna terlibat dengan pertubuhan Jamaiatul Makram al-Akhlaq. Pertubuhan ini giat mengadakan ceramah-ceramah Islam bagi menghapuskan fahaman sekular yang mula menyusup masuk ke dalam pemikiran umat Islam pada waktu itu.

Semasa beliau berumur 23 tahun, beliau bekerja sebagai guru bahasa Arab di salah sebuah sekolah di Bandar Ismailiyah selama 19 tahun. Pada tahun 1946, beliau meletakkan jawatan sebagai guru dan mula bergiat sepenuh masa dalam dakwah bersama-sama dengan rakan-rakannya di dalam Ikhwanul Muslimin.


Ikhwanul Muslimin berkembang dengan 3 peringkat iaitu peringkat pertama dengan ceramah dan juga kerja-kerja kebajikan. Peringkat kedua ialah dengan pembentukan keperibadian Islam sejati di kalangan ahli dan yang ketiga ialah melaksanakan cita-cita perjuangan mereka.

Selepas perang dunia kedua pertubuhan Ikhwanul Muslimin telah bertanding di dalam pilihanraya Mesir dan mempunyai ahli seramai setengah juta orang. Kerja kebajikan yang dilaksanakan oleh Hassan al-Banna telah mendapat pengiktirafan dan pujian daripada kerajaan British pada masa itu, tetapi pengaruh masyarakat dan pengiktirafan daripada kerajaan British kepada Ikhwanul Muslimin telah merungsingkan Kerajaan Mesir pada masa itu.

Pada tahun 1948, Noqrashi Pasha telah membuat tuduhan bahawa pertubuhan Ikhwanul Muslimin bercita-cita ingin menjatuhkan kerajaan Mesir pada waktu itu. Peristiwa itu telah menyebabkan semua cawangan Ikhwanul Muslimin telah ditutup, ahli-ahlinya ramai yang telah di tangkap, diseksa dan ada yang dibunuh. Kemuncak kepada peristiwa ini ialah pembunuhan perdana menteri Mesir di mana pertubuhan Ikhwanul Muslimin telah dituduh sebagai dalang kepada pembunuhan ini.

Pada 12hb Februari 1949, iaitu disekitar jam 5.00 petang, kerajaan Mesir telah menjemput Hassan al-Banna bertujuan bagi berbincang perihal krisis yang mereka hadapi. Hassan al-Banna telah di jemput ke pejabat Jam’iyyah al-Syubban al-Muslimin. Hassan al-Banna datang bersama-sama dengan iparnya iaitu Abdul Karim Mansur.

Jemputan itu sebenarnya adalah taktik kotor yang digunakan oleh pihak kerajaan Mesir. Menteri Zaki Ali Basya yang sepatutnya hadir berbincang dengan Hassan al-Banna tidak muncul-muncul. Semasa beliau dan iparnya mahu pulang dengan menaiki teksi, mereka telah ditembak oleh dua orang lelaki yang tidak dikenali. Akhirnya Hassan al-Banna telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 12.50 malam selepas mengalami pendarahan yang teruk pada usia 43 tahun. Semoga Allah merahmati roh beliau.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar