Senin, 09 Agustus 2010

Sahabat 6 - Zubair bin Awwam

Sahabat 6 – Zubair bin Awwam ( Hawari (penolong) Nabi Muhammad )

Zubair bin Awwam dilahirkan 28 tahun sebelum Hijrah dan berasal dari Bani Asad. Beliau memeluk Islam semasa berusia 15 tahun. Pengislaman Zubair telah membuatkan bapa saudaranya marah sehingga beliau diseksa dengan kerasnya oleh bapa saudaranya sendiri. Beliau telah berhijrah sebanyak dua kali iaitu yang pertama ke Habsyah dan yang kedua ke Madinah. Beliau terbunuh dalam perang Jamal pada 36 Hijrah dan semasa itu beliau berusia 67 tahun.

Ibnu Asakir melaporkan dari Said bin al-Musaiyib iaitu;”Orang pertama yang menghunuskan pedang pada jalan Allah adalah Zubair bin Awwam.” Kejadian ini berlaku apabila pada suatu hari beliau telah mendengar khabar bahawa Nabi telah terbunuh, tanpa membuang masa Zubair terus menghunuskan pedangnya bagi membela kematian Nabi, tetapi dipertengahan jalan belaiu telah bertemu dengan nabi dan jiwanya kembali tenang. Dengan itu beliau merupakan orang yang pertama menghunuskan pedang demi membela kebenaran dan semasa itu beliau baru berusia 16 tahun.

Semasa peperangan Badar Zubair berada di barisan hadapan tentera Islam. Beliau bertembung satu lawan satu dengan panglima Quraisy yang bernama Ubaidah bin Saad bin al-As. Zubair membunuh Ubaidah dengan menusuk matanya dengan menggunakan sebatang tongkat yang tajam hujungnya. Di medah Uhud pula menurut ibnu Ishak Zubair bertembung dengan pembawa bendera tentera Quraisy iaitu Abu Talhah al-Abdari. Talhah mencabar tentera Islam supaya beradu pedang dengannya dan cabaran ini disambut oleh Zubair dan terus membunuhnya. Di medan Khandak pula Zubair beradu satu lawan satu dengan panglima Quraisy yang bernama Naufal bin Abdullah bin al-Makhzumi, Zubair menetaknya sebanyak dua kali sehingga Naufal jatuh tersungkur kedalam parit sebelum dibunuh. Justeru Nabi memujinya dengan sabdanya;”Setiap nabi mempunyai hawari dan hawariku adalah Zubair.”

Tidak ada komentar:

Posting Komentar