Minggu, 15 Agustus 2010

Ilmuan Islam - Biografi Ringkas Sayyid Qutb

SAYYID QUTB

Sayyid Qutb dilahirkan pada 9hb Oktober 1906. Nama penuh beliau ialah Sayyid Qutb Ibrahim Hussain Shazali. Beliau berasal dari perkampungan Musha yang terletak di selatan Mesir. Bapa beliau bernama Haji Qutb Ibrahim, manakala ibunya bernama Fatimah binti Husain Uthman. Beliau mempunyai empat orang adik-beradik.

Ayah beliau seorang yang berada dan terhormat di kawasan tempat tinggalnya. Malah ayahnya adalah pemimpin masyarakat dan mempunyai perniagaan di ladangnya sendiri. Ayahnya juga kuat berpegang teguh kepada agama di samping memiliki sifat-sifat yang mulia.

Ibu beliau pula berasal daripada keluarga yang baik dan mulia. Keluarga ibunya terdiri daripada golongan yang kaya dan disegani dalam masyarakatnya. Sayyid Qutb mendapat pendidikan awal agama daripada kedua-dua ibubapanya malah ibunya juga merupakan pengajar Al-Quran kepada jiran-jirannya.

Sayyid Qutb mendapat pendidikan rasmi di sekolah rendah yang terletak dikampungnya bermula tahun 1912. Kerana kepandaian Sayyid Qutb dalam pelajaran, tempoh pendidikan Sayyid Qutb dipendekkan daripada lima tahun kepada empat tahun. Guru-gurunya juga mengakui kecerdikkan Sayyid Qutb, buktinya beliau telah berjaya menghafal keseluruhan Al-Quran dalam tempoh dua tahun pada usia 10 tahun.

Beliau bersekolah menengah di Sekolah Latihan Perguruan Rendah Abdul Aziz , Kaherah. Setelah tamat pengajian, Sayyid Qutb menjadi guru sekolah rendah bagi menyara keluarganya. Pada tahun 1929, Sayyid Qutb melanjutkan pelajaran di Kolej Dar al-Ulum.

Di sana, beliau telah berjaya mendapat ijazah Sarjana Muda Sastera dan Diploma Pendidikan pada tahun 1933. Pada waktu itu beliau berusia 27 tahun. Kemudian, beliau ditawarkan menjadi guru di Kolej Dar al-Ulum. Beliau mengajar selama enam tahun di sana dan pernah bertugas di Bani Suif, Dimyat, Kaherah dan Helwan.

Pada tahun 1948, beliau telah dihantar ke Amerika oleh Kementerian Pendidikan Mesir bagi mengkaji sistem pendidikan Barat. Di sana beliau mendapat ijazah sarjana dari Universiti Northern Colorado dalam bidang pendidikan.

Keadaan kesempitan hidup semasa di Kaherah telah mendorong beliau terlibat di dalam bidang penulisan. Beliau telah berkenalan dengan Abbas Mahmud ‘Aqqad yang menghargai bakat penulisan yang beliau miliki semasa beliau tinggal dengan bapa saudaranya.

Pada tahun 1940-an, beliau meletakkan jawatan sebagai guru apabila mendapat tawaran sebagai pegawai Penyelia Umum di Bahagian Kebudayaan di Kementerian Pendidikan dan selepas itu dilantik menjadi Nazir sekolah-sekolah rendah. Beliau telah meletakkan jawatan di dalam kerajaan pada tahun 1951 apabila semua pandangan dalam penulisannya telah ditolak oleh mereka dan beliau mula bergiat aktif di dalam bidang penulisan.

Antara hasil penulisan beliau yang terkenal adalah rencana yang dibukukan yang bertajuk al-Taswir al-Fanni fi al-Quran, Masyahid al-Qiyamah fi al-Quran dan al-‘Adalah al-Ijtima’iyyah fi al-Islam semasa beliau di Amerika. Beliau juga menyatakan keadilan yang diimpikan oleh manusia hanya tercapai melalui pemerintahan Islam serta memperjuangkan nasib kaum tani di dalam bukunya yang bertajuk al-Tifl min al-Qaryah.

Sekembalinya beliau dari Amerika pada tahun 1950, beliau telah melibatkan diri di dalam Ikhwanul Muslimin yang di asaskan oleh Hassan Al-Banna. Malah selepas pembunuhan Imam Hassan Al-Banna beliau telah menjadi tonggak utama kepada pertubuhan ini. Pada tahun 1954, beliau telah ditangkap sebanyak dua kali oleh pemerintahan Jamal Abdul Naseer atas alasan menentang kerajaan.

Beliau juga telah dijatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun pada Julai 1955 di Penjara Jarah, Mesir. Semasa di dalam penjara beliau berserta ribuan ahli Ikhwanul Muslimin telah diseksa. Semasa di dalam penjara beliau menerbitkan lagi dua buah buku iaitu Hadha al-Din dan Al-Mustaqbal Li-Hadha al-Din. Selepas menjalani hukuman penjara selama 10 tahun, beliau telah dibebaskan hasil dari campu tangan Presiden Iraq iaitu Abdul Salam Arif.

Selepas beliau bibebaskan, beliau telah menerbitkan sebuah lagi bukunya yang terkenal iaitu Maalim fi al-Tariq (Petunjuk sepanjang zaman) dan Fi Zilalil Quran ( Dibawah naungan Quran ). Lapan bulan kemudian beliau telah ditangkap semula. Sayyid Qutb bersama dengan dua orang ahli Ikhwanul Muslimin telah dijatuhkan hukuman gantung yang dilaksanakan pada 29hb Ogos 1966. Selepas beliau meninggal, usaha beliau didalam bidang penulisan dakwah diteruskan oleh adiknya Muhammad Qutb. Semoga Allah merahmati roh beliau.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar