Kamis, 12 Agustus 2010

Sahabat 7 - Abdul Rahman bin Auf

Sahabat 7 – Abdul Rahman bin Auf ( Hartawan yang Pemurah )

Abdul Rahman bin Auf dilahirkan pada tahun 44 sebelum Hijrah dan dizaman jahiliyah beliau dikenali dengan nama Abdul Kaabah yang bermaksud “hamba kepada Kaabah’. Beliau termasuk di dalam kelompok pertama yang memeluk Islam di Mekah iaitu dua hari selepas islamnya Abu Bakar dan selepas itu nabi menukar namanya kepada Abdul Rahman bin Auf. Selepas berhijrah dari Mekah ke Madinah, beliau dipersaudarakan dengan sahabat Ansar yang bernama Saad bin Rabi’. Sahabat Saad bin Rabi’ bersedia berkorban demi membantu Abdul Rahman bin Auf dengan katanya “Ambillah separuh daripada hartaku dan pilihlah salah seorang daripada dua isteriku yang kau senangi bagi akukahwinkan denganmu selepas aku ceraikannya.” Abdul Rahman menjawab;”Semoga Allah memberkati kamu serta keluarga dan hartamu, sebaliknya tunjukkan aku dimana letaknya pasar.” Dipasar tersebutlah beliau memulakan perniagaannya sehingga akhirnya beliau menjadi kaya raya. Abdul Rahman bin Auf meninggal dunia pada tahun 32 Hijrah di Madinah dan dimakamkan di Baqi’ ketika berusia 72 tahun.

Pengorbanan Abdul Rahman bin Auf yang paling menonjol adalah disudut harta benda. Beliau menjadikan harta benda sebagai alat takwa dan mendekatkan diri kepada Allah. Mengikut laporan daripada Abu Nuaim didalam kitab al-Hilyah daripada Az-Zuhri, beliau berkata, “Abdul Rahman bin Auf bersedekah di zaman Nabi Muhammad setengah daripada hartanya yang berjumlah 4,000 dirham, kemudian menyumbang 40,000 dirham, 500 ekor kuda dan 1,500 ekor unta di jalan Allah, kesemua harta ini adalah hasil perniagaannya.”

Walaupun beliau kaya raya hartanya tidak dapat mempengaruhi jiwanya, keperibadian beliau selari dengan firman Allah;”Bertasbih kepada Allah di masjid-masjid yang diperintahkan supaya dimuliakan dan disebut nama Allah didalamnya pada waktu pagi dan petang, lelaki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau jual beli daripada menyebut dan mengingati Allah serta mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat. Mereka takutkan hari kiamat hari bergoncang hati dan pandangan” Surah An-Nur ayat 36 – 37.

1 komentar:

  1. Pasar-pasar di Madinah pada masa tersebut dikuasai oleh orang-orang Yahudi.

    BalasHapus