16.Kata-kata yang seringkali kita jumpai di dalam kitab-kitab hadis.
Di dalam kitab-kitab hadis, misalnya Riyadhus Shalihin seringkali dijumpai kata-kata sebagaimana dibawah ini, maka adalah perlu untuk dijelaskan maksudnya agar dapat menambah kefahaman didalam memahami isinya.
Kata-kata yang dimaksudkan adalah seperti berikut ;-
16.1 Kata (‘An)
a. Kata ‘An Abi Hurairah r.a, ertinya “Dari Abu Hurairah r.a” Maksudnya ialah bahawa hadis yang ada di belakang kata-kata tersebut adalah diriwayatkan oleh sahabat Rasulullah yang bernama Abu Hurairah r.a
b. ‘An Abi Abdirrahman Abdillahibni Mas’ud, ertinya : “ Dari Abu Abdurrahman iaitu Abdullah bin Mas’ud”. Maksudnya ialah bahawa hadis yang ada dibelakangnya itu diriwayatkan oleh seseorang yang bernama Abdullah dan beliau mempunyai anak yang bernama Abdurrahman, maka dikatakan Abu Abdirrahman atau bapanya Abdurrahman, sedangkan Abdullah adalah anaknya seorang yang bernama Mas’ud. Jadi Mas’ud itu adalah ayahnya Abdullah dan datuknya Abdurrahman.
Mungkin ada diantara kita yang bertanya kenapa tidak dikatakan ‘An Abdillah sahaja bukankah lagi mudah daripada perlu diletakkan nama ayah atau datuk. Ini adalah kerana pada zaman tersebut terdapat ramai sahabat yang bernama Abdullah, seperti Abdullah bin Umar, Abdullah bin Abbas dan lain-lain lagi. Jadi untuk membezakan diantara mereka perlu diletakkan nama anak dengan bapanya bagi mengetahui siapa yang meriwayatkan hadis tersebut.
c. ‘An ‘Amribni Syu’aibin ‘An Abihi ‘An Jaddihi, ertinya “Dari ‘Amr bin Syu’aib dari ayahnya dari datuknya”. Maksudnya ialah hadis yang ada dibelakangnya itu di riwayatkan oleh “Amr bin Syu’aib, ia menerimanya dari ayahnya yakni Syu’aib dan Syu’aib pula menerimanya dari ayahnya yang bernama Abdullah. Jadi penerima yang pertama ialah datuk ‘Amr dari Nabi s.a.w dan bukan pula ‘Amr atay ayahnya yakni Syu’aib.
Dengan meneliti huraian di atas, dapatlah kita fahami bahawa belum tentu nama yang tertera di belakang lafaz ‘An itu pasti penerima pertama dari hadis yang disabdakan, dikerjakan atau ditaqrirkan oleh Nabi Muhammad s.a.w atau dengan kata lain bahawa nama yang dibelakang ‘An itu merupakan sanad yang terakhir, tetapi dapat juga penerima kedua, ketiga dan selanjutnya, misalnya Abu Hurairah (a) atau Abu Abdirrahman (b) yang namanya sendiri Abdullah itu memang penerima langsung atau rawi pertama, tetapi ‘Amr (c) bukan penerima langsung atau rawi pertama, seba rawi yang pertama adalah datuknya iaitu Abdullah, Syu’aib yakni ayah ‘Amr adalah rawi kedua dan ‘Amr sendiri adalah rawi yang ketiga.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar