Jumat, 24 Juni 2011

Ilmuan Islam - ABDUL KADIR AUDAH

ABDUL KADIR AUDAH

Abdul Kadir Audah dilahirkan pada tahun 1906. Selepas menamatkan pengajian tinggi, beliau dilantik menjadi hakim di Jabatan Kehakiman Mesir. Beliau merupakan seorang hakim yang meletakkan hukum Islam di atas hukum-hukum yang lain. Beliau merupakan seorang yang berani menegakkan kebenaran dan menyuarakan kezaliman pemerintah walaupun menghadapi fitnah dan tohmahan.

Abdul Kadir juga seorang yang pakar di dalam perundangan Islam. Buku beliau, At-Tasyri’ al-Jina’I fil Islam Muqarrinan bil Qanun al-Wadhi memberikan impak yang besar kepada masyarakat dalam pemahaman pada syariat Islam dan kelebihannya di atas undang-undang ciptaan manusia. Buku tersebut telah diterjemahkan kedalam beberapa bahasa termasuk bahasa Inggeris, Perancis, Indonesia dan lain-lain bahasa utama dunia. Buku ini telah menjadi rujukan dan kajian para sarjana Islam serta para ulama.

Abdul Kadir juga merupakan diantara orang kanan imam Hasan al-Banna dan kemudiannya Ustaz Hasan al-Hudaibi, yang menggantikan imam Hasan al-Banna sebagai Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin Mesir. Beliau turut terlibat di dalam perancangan strategi Ikhwanul Muslimin semasa perang meletus di Terusan Suez.

Beliau juga seorang tokoh utama gerakan Ikhwanul Muslimin dan berpengaruh dikalangan rakyat Mesir. Buktinya, pada 28hb Februari 1954, satu perhimpunan besar-besaran telah diadakan bagi menuntut Presiden Muhammad Najib membebaskan para tahanan dan menegakkan hukum Islam di Mesir. Bagi menenangkan keadaan, Presiden Muhammad Najib telah meminta bantuan Abdul Kadir selepas cara lain gagal menyuraikan himpunan. Dari atas balkoni Istana Abidin, beliau dengan tenang telah meminta para rakyat yang berhimpun bersurai, serta merta mereka yang berhimpun mematuhi seruan beliau dan bersurai dengan aman.

Peristiwa ini telah menyebabkan rasa tidak senang serta hasad pada Jeneral Jamal Abdul Naseer yang merancang supaya beliau ditangkap pada petang itu juga. Abdul Kadir dimasukkan ke dalam penjara dan diseksa sebelum dihadapkan ke mahkamah. Beliau dan beberapa pendokong Ikhwan yang lain telah dituduh dan didapati bersalah oleh sebuah mahkamah khas. Tuduhan tersebut bertujuan bagi melenyapkan pengaruhnya dalam masyarakat Mesir pada ketika itu.

Beliau telah dihukum gantungbersama-sama lima lagi pejuang Ikhwanul Muslimin pada tanggal 7hb Disember 1954. Hukuman tersebut telah mendapat bantahan daripada para ulama dan para pemimpin negara-negara Islam.

Semoga roh beliau dicucuri rahmat.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar