Rabu, 07 Juli 2010

Biografi Ringkas Abu Hurairah r.a



Biografi Ringkas Abu Hurairah r.a

Abu Hurairah r.a merupakan salah seorang sahabat yang banyak menghafal hadis, beliau telah dikurniakan dengan daya ingatan yang kuat. Abu Hurairah berasal daripada kabilah al-Dusi, iaitu satu suku kaum yang tinggal di Yaman. Beliau juga merupakan seorang anak yang telah kehilangan bapanya semenjak beliau kecil.

Ketika dilahirkan beliau telah diberi nama Abdusy Syams iaitu hamba matahari, ini adalah kerana kaumnya merupakan mereka yang menyembah matahari. Apabila beliau memeluk Islam, Rasulullah s.a.w telah menukar nama beliau kepada Abdur Rahman Bin Sakhr. Beliau telah pergi ke Madinah bersama-sama dengan Tufail Bin Amru pada tahun ke 7 Hijrah bagi bertemu dengan Rasulullah s.a.w untuk menyatakan keislamannya.

Walaubagaimana pun beliau lebih dikenali dengan nama Abu Hurairah, ini adalah kerana sifat beliau yang menyayangi kucing. Pernah diriwayatkan pada suatu masa Rasulullah s.a.w ternampak ada sesuatu yang bergerak-gerak di dalam lengan baju Abu Hurairah, lalu Baginda bertanya kepadanya apakah yang bergerak-gerak di dalam lengan bajunya, rupa-rupanya terdapat anak kucing di dalam lengan bajunya. Sejak dari peristiwa tersebutlah beliau mendapat gelaran Abu Hurairah iaitu bapa kucing.

Semasa permulaan Islamnya, beliau telah menghadapi ujian dari Allah s.w.t dimana ibu yang dikasihinya masih kekal di dalam kepercayaan lamanya malah menghina dan mencaci Rasulullah s.a.w. Oleh kerana beliau terlalu sayang kepada ibunya, Abu Hurairah telah mengadu kepada Rasulullah akan perkara ini dan Baginda telah berdoa kepada Allah agar diberikan hidayah kepada ibu Abu Hurairah, berkat doa baginda ibu Abu Hurairah telah memeluk Islam.

Beliau banyak memberi sumbangan kepada Islam dan telah meriwayatkan sebanyak 5,374 buah hadis. Hadis dari beliau yang disepakati oleh Imam Bukhari dan Muslim adalah sebanyak 325 buah hadis. Beliau telah meninggal dunia pada 57 atau 59 Hijrah ketika berumur 78 tahun dan kematian beliau diibaratkan sebagai kehilangan sebutir permata yang amat berharga. Semoga Allah merahmati beliau.

Tidak ada komentar:

Poskan Komentar