Senin, 26 Juli 2010

Sahabat 2 - Umar Al Khattab

Sahabat 2 – Umar Khattab Al-Farouq ( Yang Memisahkan )

Beliau berasal dari kabilah Bani Adi iaitu salah satu puak dari kalangan Quraisy. Pada peringkat awal Islam berkembang di Mekah, beliau amat memusuhi Islam sehingga Nabi pernah berdoa, “Ya Allah, kuatkanlah Islam samada dengan umar Al Khattab atau Abu Jahal bin Hisyam.” Akhirnya beliau memeluk Islam. Semasa beliau dilantik menjadi khalifah empayar Islam berkembang dengan pesatnya. Umat Islam Berjaya menakluki Mesopotamia dan meruntuhkan empayar Parsi di samping menawan Mesir, Palestin, Syria, Afrika Utara dan Armenia, sekaligus melemahkan empayar Rom.

Pada tahun 637 Masihi, tentera Islam berjaya menakluki Kota Baitul Muqaddis. Paderi besar pada masa itu ialah Sophronius telah menyerahkan kunci kota kepada Khalifah Umar. Umar Al Khattab amat rapat dengan Nabi sehingga Nabi mengahwinkan anak baginda yang bernama Hafsah dengan Umar Al Khattab. Beliau meninggal dunia pada tahun 644 Masihi ( tahun 23 Hijrah ) selepas dibunuh oleh seorang hamba Parsi yang bernama Abu Lu’lu’ah.

Antara sifat unggul yang ada pada Umar Al-Khattab adalah beliau seorang yang tegas berpegang pada agama. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Nabi bersabda,; “Wahai Ibnu Khattab, demi Allah, tidaklah kamu berjalan di satu lorong melainkan syaitan memilih lorong yang lain”.

Sifat unggul lain yang terdapat pada Umar Al Khattab adalah berani demi kebenaran. Sifat ini banyak membantu perkembangan awal Islam di Mekah. Beliau telah meminta izin daripada Nabi supaya mengizinkan umat Islam mengisytiharkan keislaman mereka dan Nabi mengizinkan. Maka umat Islam keluar menuju ke Masjidil Haram untuk bersolat didalam dua barisan, satu dipimpin oleh Umar Al Khattab dan satu lagi dipimpin oleh Hamzah. Kerana itu Nabi menggelar beliau sebagai al-Faruq yang bermaksud “Yang memisahkan antara kebenaran dan kesesatan.”

Justeru berpegang teguh dan tegas terhadap agama serta berani menyatakan yang hak adalah lambang kehormatan dan kekuatan yang memacu manusia kepada kejayaan.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar