Kamis, 22 Juli 2010

Sahabat 1 - Abu Bakar As-Siddiq


Sahabat 1 – Abu Bakar As-Siddiq (Yang Membenarkan Risalah)

Nama sebenar beliau adalah Abdullah bin Abu Quhafah dan beliau termasuk didalam golongan yang terawal memeluk Islam. Beliau adalah khalifah pertama dari tahun 632 – 634 Masihi dan amat terkenal dengan gelaran As-Siddiq yang bermaksud yang membenarkan risalah.

Abu Bakar merupakan antara sahabat Nabi yang paling rapat sekali dengan Baginda. Semasa Nabi berhijrah daripada Mekah ke Madinah, beliaulah yang menemani Baginda. Hubungan ini makin erat apabila Nabi mengahwini anak perempuannya Siti Aisyah. Abu Bakar merupakan seorang yang kara raya dan seringkali menggunakan kekayaannya itu bagi membebaskan hamba-hamba sahaya yang Islam daripada tuan mereka yang kafir, antaranya Bilal bin Rabah. Beliau meninggal dunia pada tahun 634 masihi bersamaan 27 Jamadilakhir tahun 13 Hijrah.

Antara ciri-ciri unggul yang terdapat Syaidina Abu Bakar ialah beliau bersifat pemurah demi perjuangan Islam. Sifat ini terserlah semasa tentera Islam menghadapi tentera Rom semasa berlaku perang Tabuk pada tahun ke-9 Hijrah. Jauhnya Tabuk ke Madinah adalah lebih kurang 692 kilometer. Perjalanan yang jauh ini memerlukan persiapan yang mantap di kalangan tentera-tentera Islam. Bagi tujuan ini Abu Bakar mendermakan seluruh harta bendanya bagi perjuangan Islam dan semasa ditanya Nabi berkaitan dengan apa yang ditinggalkannya untuk keluarganya, beliau menjawab, “Allah dan Rasul”.

Sifat unggul yang kedua adalah keimanan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi sehingga tidak wujud ruang keraguan didalam hatinya terhadap islam yang dibawa oleh Nabi. Peristiwa yang menyerlahkan kehebatan iman Abu Bakar adalah semasa peristiwa Israk dan Mikraj, dimana beliau berkata “Aku tetap mengakui kebenarannya kerana ia merupakan perkhabaran daripada langit yang berlangsung sepanjang pagi dan petang. Kenapa pula aku perlu menolaknya sedangkan beliau (Nabi) memang dating dari Baitul Maqaddis.” Kerana sifat beliau inilah beliau mendapat gelaran As-Siddiq yang bermaksud “Yang membenarkan risalah”

Justeru Iman dan keyakinan yang mendalam merupakan asas kejayaan dan apabila disusuli dengan pengorbanan harta benda, ia adalah kehebatan tanpa tandingan.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar