Jumat, 30 Juli 2010

Ilmuan Islam - Sheikh Idris Al-Marbawi

MOHD IDRIS AL-MARBAWI

Nama sebenar beliau ialah Mohd Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi atau lebih dikenali dengan panggilan Sheikh Idris Al-Marbawi, seorang ulama tersohor di Nusantara, Mesir dan Mekah. Beliau amat terkenal dengan kefahamannya di dalam bidang bahasa Arab, Ilmu Hadis, Ilmu Tafsir dan Ilmu Fekah.

Sheikh Idris dilahirkan pada tahun 1893 di Mekah. Keluarganya berpindah dan pulang semula ke Malaysia pada tahun 1913 iaitu pada usia 20 tahun. Ketika beliau berusia 10 tahun, beliau telah berjaya menghafal 17 juzuk Al-Quran dan beberapa buah kitab. Beliau memiliki ketajaman fikiran dan tergolong di dalam golongan manusia yang cerdik pandai dan fakih tentang agama Islam.

Sheikh Idris mendapat pendidikan secara formal di Sekolah Melayu Lubuk Merbau, Perak. Beliau juga belajar di beberapa buah sekolah pondok seperti sekolah pondok Sheikh Wan Muhammad di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Pondok Tuan Hussain Al-Masudi di Kedah, Pondok Sheikh Ahmad Fatani di Bukit Mertajam dan Pondok Tok Kenali di Kelantan.

Selepas beliau menamatkan pengajiannya di beberapa buah sekolah pondok, beliau telah ditawarkan berkerja sebagai guru agama di salah sebuah pondok di Perak. Pada waktu itu juga beliau berkahwin dengan gadis pilihannya. Kemudian pada tahun 1924, beliau telah melanjutkan pelajaran ke Universiti al-Azhar di Mesir. Kepandaian dan kebijaksanaan beliau terserlah di sana apabila beliau seringkali mendapat pencapaian tertinggi dari pihak Universiti.

Semasa beliau berada di Universiti al-Azhar, beliau melihat masalah dalam kalangan para pelajar melayu adalah sukar memahami dan bertutur di dalam bahasa Arab. Beliau bersama-sama dengan lima sahabatnya cuba menyusun sebuah kamu Arab-Melayu, tetapi di pertengahan jalan sahabat-sahabatnya telah menarik diri. Walaubagaimana pun ianya tidak melemahkan semangat Sheikh Idris untuk menyiapkan kamus ini dan terbukti beliau telah berjaya menerbitkan sebuah kamus Arab-Melayu pada tahun 1927 dengan judul Qamus al-Marbawi. Kamus tersebut telah mendapat sambutan ramai sehinggakan penerbitnya terpaksa mengulang cetak berpuluh-puluh kali dan sehingga sekarang kamus beliau tetap menjadi rujukan.

Setelah itu beliau telah terlibat secara aktif di dalam bidang penulisan dan telah menghasilkan katya-karya ilmiah yang agung. Antara karya beliau yang memberikan sumbangan penting dalam pengajian hadis di Malaysia adalah kitab Bahru Mazi ( Lautan Madu ). Kitab ini adalah ringkasan kepada sunan at-Tirmizi. Kitab ini menghuraikan hadis dalam bentuk fekah, tasawuf,akidah dan muamalat. Kitab ini menggunakan tulisan jawi terbesar dan ia antara kitab terawal diterbitkan oleh orang Melayu dan sehingga kini kitab beliau telah dijadikan rujukan oleh para ustaz bagi menyampaikan kuliah-kuliah agama dan di antara mereka yang menggunakan kitab ini ialah Ustaz Dato’ Shamsuri Ahmad.

Antara kitab-kitab lain yang telah diterjemahkan kedalam bajasa Melayu oleh beliau adalah kitab Bulugh al-Maram. Kitab ini adalah karya seorang tokoh hadis yang bernama Ibn Hajar al-Asqalany. Selain itu beliau juga terlibat di dalam menghasilkan tafsir Surah Yassin, Tafsir al-Quran al-Marbawi, Tafsir Juz Amma, Tafsir Al-Fatihah, Tafsir al-Quran Nur al-Yakin, Terjemahan Tafsir Fath al-Qadir dan Quran Bergantung Makna.

Beliau juga turut menulis di dalam bidang Fekah, akidah dan falsafah. Antara karya beliau yang terkenal adalah kitab Nizam al-Hayah, kitab pati Hukum-hukum Ibadah, Kitab usul Islam pada membicarakan mengambil air sembahyang, ensiklopedia Kamus segala Ilmu, Punca Agama, Perbendaharaan Ilmu dan banyak lagi.

Jasa beliau di dalam bidang agama dan persuratan Arab-Melayu telah diiktiraf oleh Universiti Kebangsaan Malaysia di mana beliau telah di anugerahkan ijazah kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia pada 05hb Julai 1980 dan dianugerahkan sebagai tokoh Maal Hijrah pada 01 Muharam 1408 Hijrah.

Sumbangan beliau yang tidak terbilang ini menyebabkan nama beliau telah dikenang sehingga ke hari ini. Nama beliau juga telah diabadikan pada sebuah kolej yang berada di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kolej itu diberi nama Kolej Idris al-Marbawi. Sekolah pertama tempat beliau belajar dahulu juga menggunakan nama beliau iaitu Sekolah Kebangsaan Sheikh Idris al-Marbawi.

Beliau telah meninggal dunia pada 13hb Oktober 1989 di Hospital Besar Ipoh pada usia 96 tahun dan jenazahnya dikebumikan di Kampung Lubuk Merbau, Perak. Semoga Allah merahmati roh beliau.

1 komentar:

  1. salam, dalam simpanan ustaz ada tak kitab bulugh al marami ..karya beliau(isris marbawi)

    ni no tel saya 013-9266601

    BalasHapus