Sabtu, 22 Mei 2010

Berita Terkini - Kerajaan Perlu Dengar Suara Rakyat Berhubung Lesen Judi Bola

Kerajaan perlu dengar suara rakyat berhubung lesen judi bola: Pak Lah
2010/05/22 ( Berita Harian )

KEPALA BATAS: Kerajaan perlu mendengar pandangan rakyat berhubung keputusan meluluskan lesen perjudian bola untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 yang akan berlangsung awal bulan depan. Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang juga Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) berkata, rakyat berhak menyuarakan pandangan dan kerajaan juga perlu mendengar pandangan mereka.

"Pihak yang telah meluluskan lesen itu perlu mempertimbangkan sebaik-baiknya pandangan yang telah disuarakan. "Bagi orang Islam, judi tak dapat diterima dan bukan sahaja orang Islam agama lain tak suka juga," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Mai...Riuh di sini, hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung, sebelum ini dilaporkan berkata Kementerian Kewangan telah memberi lesen kepada sebuah syarikat tempatan untuk menjalankan pertaruhan bola sepak pada kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010.

Bagaimanapun, pelbagai pihak mahu kerajaan menarik balik kelulusan itu yang dikhuatiri mengundang gejala negatif di kalangan masyarakat. Sementara itu, diminta mengulas mengenai cubaan menghidupkan semula kumpulan Al-Arqam, Abdullah berkata perkara itu perlu dibendung. "Saya harap tak ada orang yang ikut dan percaya dengan kata-kata bekas pengikut kumpulan itu," katanya. Sebelum ini, terdapat laporan yang menyatakan bekas pengikut kumpulan itu mendakwa pemimpin mereka, Ashaari Muhammad atau Abuya, yang meninggal dunia pada 13 Mei lalu, kononnya cuma ghaib dan akan pulang semula dalam masa terdekat. - Bernama

Tidak ada komentar:

Posting Komentar