Selasa, 11 Mei 2010

Hadis 31 – Hakikat Zuhud Dan Kesannya

Daripada Abu al’Abbas Sahl Bin Saad as-Saa’idi r.a, beliau berkata : “Seorang lelaki telah datang menemui Rasulullah s.a.w dan berkata :”Wahai Rasulullah, tunjukkanlah kepadaku satu amalan apabila aku melakukannya, Allah s.w.t cinta kepada ku dan manusia juga cinta kepada ku.” Rasulullah s.a.w bersabda :”Zuhud lah terhadap dunia nescaya kamu akan dicintai oleh Allah s.w.t, dan zuhudlah terhadap apa yang dimiliki oleh manusia, nescaya kamu akan disukai oleh manusia.”

[Hadis Riwayat Ibnu Majah]


Kepentingan Hadis

Hadis di atas mengandungi dua wasiat nabi yang besar ;

Pertama ; Zuhud terhadap dunia merupakan sebab seseorang hamba mendapat kecintaan Allah.
Kedua : Zuhud terhadap apa yang dimiliki oleh manusia merupakan sebab mendapat kecintaan dan darjat di sisi mereka.

Sesungguhnya didalam Islam seseorang tidak akan mendapat kebahagian dunia dan akhirat kecuali setelah dia dicintai oleh Allah iaitu setelah dia mengutamakan kehidupan akhirat yang kekal abadi lebih daripada kehidupan dunia yang fana’. Dia juga hendaklah berusaha mendapatkan kecintaan daripada manusia iaitu dengan cara membebaskan dirinya daripada apa yang dimiliki oleh manusia yang terdiri daripada kesenangan hidup didunia, sebaliknya memenuhi sisa-sisa hidupnya dengan amalan salih kerana itulah yang lebih baik dan kekal di akhirat kelak. Oleh sebab itu Ibnu Hajar al-Haitami telah berkata berkenaan hadis ini ; “Ia merupakan salah satu daripada empat hadis yang menjadi paksi Islam.”

Tidak ada komentar:

Posting Komentar