Senin, 03 Mei 2010

Hadis 29 – Pintu-Pintu Kebaikan dan Laluan Petunjuk

Daripada Muaz bin Jabal katanya : “Aku telah berkata kepada Rasulullah s.a.w ; “Ceritakan kepadaku suatu amalan yang akan memasukkan aku kedalam syurga dan menjauhkan ku daripada neraka.” Baginda s.a.w menjawab;”Sesungguhnya kamu telah bertanya sesuatu yang agung. Sesungguhnya ia adalah mudah bagi sesiapa yang dimudahkan oleh Allah s.w.t: Kamu menyembah Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu, kamu mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa dibulan Ramadhan dan menunaikan haji.”

Kemudian beliau berkata: “Mahukan kiranya aku tunjukkan pintu-pintu kebaikan; Puasa itu seperti benteng (pemelihara), sedekah menghapuskan kesalahan sepertimana air memadamkan api dan sembahyang seorang lelaki ditengah malam, kemudian baginda membaca firman Allah s.w.t yang bermaksud ; “Mereka mereggangkan diri dari tempat tidur (sedikit sangat tidur kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal salih); mereka sentiasa berdoa kepada tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaan-Nya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredhaan-Nya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang kami berikan kepada mereka. Maka tidak ada seorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (daripada segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan menggembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal salih yang mereka telah kerjakan.” (As-Sajadah:16-17)

Kemudian baginda bersabda lagi; “Mahukan kamu kiranya aku ceritakan kepada kamu tentang kepala segala urusan, tunggak dan kemuncaknya ?” Aku menjawab sudah tentu wahai Rasulullah!” Sabda baginda :”Kepala segala urusan adalah Islam, tunggaknya adalah sembahyang dan kemuncaknya ialah jihad.”

Kemudian baginda bersabda lagi: “Mahukah kamu kiranya aku memberitahu kepadamu anak kunci kepada semua perkara tersebut ?” Aku menjawab : “Sudah tentu wahai Rasulullah !” Lalu baginda pun memegang lidahnya seraya bersabda : “Kamu mesti menjaga ini !” Aku bertanya: “Wahai Nabi Allah ! Adakah kita akan dibalas (dipersoalkan) dengan apa yang kita pertuturkan ?” Baginda menjawab ; “Celakalah kamu! Tidak ada yang menghumbankan manusia kedalam neraka di atas muka mereka – dalam riwayat yang lain disebut diatas hidung mereka – melainkan hasil tuaian lidah mereka ?”

[Hadis riwayat Tirmizi]


Kepentingan Hadis

Hadis ini menceritakan amalan-amalan salih yang boleh memasukkan seseorang kedalam syurga dan menjauhkan mereka daripada neraka. Ini adalah perkara yang amat agung kerana untuk memasukkan manusia ke dalam syurga dan menyelamatkan mereka daripada neraka, maka Allah s.w.t mengutuskan para rasul-Nya dan menurunkan kitab-kitab-Nya. Oleh kerana itu Nabi s.a.w telah bersabda kepada Muaz ; “Sesungguhnya kamu telah bertanya tentang satu perkara yang agung,” dan baginda s.a.w telah bersabda kepada seorang lelaki lain yang bertanyakan tentang perkara yang sama: “Sekalipun kamu meringkaskan pertanyaan, tetapi sebenarnya kamu telah bertanyakan sesuatu yang besar dan memerlukan jawapan yang panjang.”

Begitulah kasihnya dan sayangnya Nabi kepada umatnya dengan memberikan kepada kita panduan agung di dalam mencari kebahagian di dunia dan di akhirat. Tetapi berapa ramai pula daripada kalangan kita yang kasih dan sayang kepada Nabi, yang mempertahankan baginda apabila baginda dicemuh, yang bersungguh-sungguh cuba mengikuti sunnahnya. Saya menyeru kepada diri saya dan kepada tuan-tuan marilah kita sama-sama berusaha untuk mengenali Nabi kita dan mengasihinya serta berusaha mengamalkan apa yang telah disampaikan kepada kita. Baginda adalah suri teladan yang terbaik.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar