Minggu, 10 Juli 2011

17. Pembahagian Hadis


17. Pembahagian Hadis
Dengan memerhatikan matan hadis, menyelidiki setiap perawi serta meneliti sanad, yakni rangkaian rawi-rawi mulai penerima pertama hingga yang terakhir sekali, maka para alim-ulama ahli hadis telah membahagi-bahagikan martabat sesuatu hadis menjadi 57 bahagian sebagaimana yang diterangkan dibawah ;


17.1 Hadis Shahih

Shahih, ertinya ialah benar dan oleh sebab itu tidak terdapat keraguan padanya bahawa hadis itu benar-benar sabda Nabi s.a.w, maka hadis tersebut mempunyai kekuatan untuk dijadikan amalan serta memberi keyakinan didalam penetapan sesuatu hukum.

Syarat-syarat hadis shahih terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu ;

a. Sifat para perawinya adalah sebagaimana yang telah dijelaskan dalam nombor 14 (sila rujuk semula).

b. Tiap-tiap rawi dalam sanadnya itu bukan terdiri daripada kalangan orang-orang yang terkenal sebagai pendusta atau dituduh sebagai pendusta, tidak banyak salah, kurang teliti, dianggap sebagai manusia fasik, bukan juga dari kalangan orang yang ragu-ragu, bukan ahli bida’ah, juga bukan orang yang kurang kuat hafalannya dan bukan pula orang yang seringkali menyalahi rawi yang dianggap lebih kuat dari dirinya sendiri, demikian pula rawi tersebut wajib dikenali, paling sedikit dua orang ahli hadis dizamannya atau dengan kata yang lain bukannya rawi yang majhul (tidak dikenali) sejarah hidupnya. (sila rujuk no. 15)

c. Hadis yang dapat dinilai sebagai hadis shahih itu tidak ada cacat pada ‘illatnya sedikit pun, sebab jika demikian atau ber’illat,maka hadis tersebut termasuk hadis Ma’lul, Mu’tal, Mu’allal. (akan dijelaskan kelak)

Hadis Shahih pula terbahagi kepada 2 bahagian iaitu Shahih Lidzatih dan Shahih Lighairih.

Shahih Lidzatih ialah yang keshahihannya itu memang dari dirinya sendiri, yakni tanpa ada bantuan dari keterangan hadis-hadis yang lain.

Shahih Lighairih pula ialah keshahihannya itu dibantu oleh hadis-hadis yang lain yang mempunyai taraf atau darjat sebagai hadis hasan. Maksudnya ialah jikalau ditilik dari sanadnya hadis itu sebenarnya hanyalah bertaraf hasan, tetapi oleh sebab terdapat keterangan-keterangan yang lain yang menguatkannya, maka dari darjat hasan dapat meningkat menjadi hadis shahih, tetapi keshahihannya adalah lighairih (sebab ada keterangan yang lain).




Tidak ada komentar:

Posting Komentar