Rabu, 20 Juli 2011

ILMUAN ISLAM - ZAINAL ABIDIN BIN AHMAD (ZA’BA)





ILMUAN ISLAM - ZAINAL ABIDIN BIN AHMAD (ZA’BA)

Zainal Abidin Bin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Za’ba dilahirkan di Kampung Bukit Kerdas, Jempol, Negeri Sembilan pada 16hb september 1895. Beliau berasal daripada sebuah keluarga yang berpegang kuat dengan ajaran Islam.

Za’ba memulakan pendidikan secara rasmi agak lewat berbanding kanak-kanak yang lain. Beliau mula memasuki sekolah Melayu Batu Kikir pada usia 12 tahun dan kemudiannya bertukar ke Sekolah Melayu Linggi bagi mendalami pengajian Islam dan Bahasa Arab. Beliau menamatkan pengajian senior Cambridge pada tahun 1915. Setelah itu beliau telah menjadi guru sementara pada tahun 1916 di sebuah sekolah di Johor Bahru. Di sinilah beliau mula menulis dan artikel pertama beliau diterbitkan di dalam akhbar Utusan Melayu. Beliau juga mempelbagaikan topik penulisan beliau seperti keagamaan, kesusasteraan, pendidikan dan politik. Malah beliau adalah antara orang Melayu yang berusaha membangunkan bangsa Melayu daripada kemunduran.

Beliau kemudiannya bertugas di Sultan Idris Training College (SITC), dan karya beliau pada masa tersebut lebih kepada memperkayakan Bahasa Melayu dengan mengadaptasi tatabahasa Arab dan Inggeris. Usaha beliau melonjakkan nama beliau sebagai perintis pembangunan tatabahasa bahasa Melayu. Beliau meneruskan karier beliau sebagai pengajar di Universiti London pada tahun 1947 dan bersara daripada perkhidmatan awam pada tahun 1953. Setelah itu beliau telah dilantik menjadi pensyarah kanan di Jabatan Pengajian Melayu di Universiti Malaya, Singapura. Zainal dan rakannya Ungku Aziz telah menubuhkan Persatuan Bahasa Melayu dan seterusnya memperolehi ijazah sarjana dari Universiti London.

Pada peringkat awal pembabitan beliau di dalam bidang penulisan, beliau menghasilkan karya-karya pendek yang dimuatkan didalam majalah-majalah seperti al-Ikhwan, Lembaga Melayu dan Pengaruh. Buku pertama beliau, Umbi Kemajuan telah diterbitkan pada tahun 1932. Semasa pendudukan tentera Jepun, beliau diminta menulis buku bagi kegunaan Malaya dan Sumatera. Salah sebuah karya beliau yang dibukukan, “Perangai bergantung kepada diri sendiri” menghuraikan sikap bangsa Melayu yang terlalu bergantung kepada orang lain. Beliau juga menyeru bangsa Melayu supaya kembali kepada ajaran Islam untuk bangun sebagai satu bangsa yang maju.

Kata beliau; “Tiap-tiap orang diwajibkan beramal dan beribadat sendiri dengan usaha dan tenaganya…tidak pernah disuruh ia mengira dirinya itu perlu bergantung kepada doa orang sahaja ataupun kepada fidyah penebus yang dibuatkan orang sahaja bagi mendapat kejayaan dan keselamatannya di akhirat kelak!”

Dua lagi hasil karya beliau yang terkenal ialah “Falsafah Takdir(1952) dan Asuhan Budi (1957). Buku ini dengan keras mengkritik sikap dan kemunduran bangsa Melayu. Pemikiran beliau turut dikatakan mendahului zamannya, malah kebanyakan hasil tulisan beliau bukan sahaja membicarakan soal masyarakat Melayu dan Islam, tetapi juga soal akhlak, pendidikan dan kemiskinan.

Za’ba telah bergiat aktif didalam aktiviti kemasyarakatan bermula pada tahun 1932 beliau telah dilantik menjadi penasihat Persaudaraan Sahabat Pena Malaya. Beliau kemudiannya dilantik menjadi Yang di Pertua Persatuan Melayu Selangor pada tahun 1945. Beliau juga terbabit dalam penggubalan Rang Piagam Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada tahun 1946.

Beliau telah dianugerahkan gelaran “Pendeta” pada tahun 1956 di Kongres Bahasa Melayu dan kesusasteraan Ketiga di Johor Bahru. Keikhlasan beliau di dalam memartabatkan bahasa Melayu terserlah apabila beliau menolak gelaran Dato’ di atas jasa beliau selama ini, walaubagaimanapun pada tahun 1962 beliau telah dianugerahkan gelaran Tan Sri dan pada usia 78 tahun Za’ba telah menghebuskan nafasnya yang terakhir pada 23hb Oktober 1973.

Semoga Allah merahmati beliau. Al-Fatihah…










Tidak ada komentar:

Posting Komentar