Senin, 18 Juli 2011

17. Pembahagian Hadis

17.3 Hadis Dhaif

Dhaif menurut erti asalnya ialah Lemah. Yang dapat digolongkan hadis dhaif itu ialah hadis yang sanadnya tidak bersambung(ittishal) atau dalam sanadnya itu ada rawi yang dianggap tercela atau cacat.

Maksud tercela atau cacat disini ialah misalnya rawi itu belum baligh, berubah akal, majhul yakni yang tidak dikenali sejarah hidupnya, buruk sekali hafalannya, amat pelupa, kerapkali menyamarkan atau menyembunyikan nama rawi yang lain, pendusta atau dituduh sebagai pendusta, juga rawi yang dianggap orang sebagai fasik tetapi tidak sampai kepada kafir, atau riwayatnya menyalahi riwayat yang dikemukakan orang yang sudah terkenal baiknya, demikian pula yang diantara rawinya itu ada yang suka mengerjakan perbuatan dosa besar atau dosa-dosa kecil berulang-ulang.

Cacatan;

Di dalam kitab Riyadhush Shalihin ini samasekali tidak terdapat hadis-hadis dhaif. Namun demikian perlu juga kita maklumi hal-hal sebagai berikut, iaitu ;

a. Hadis dhaif itu samasekali tidak mempunyai kekuatan untuk digunakan sebagai dalil menetapkan sesuatu hukum, baik wajib, sunat, haram dan lain-lain lagi, tetapi didalam hal-hal yang berkaitan dengan Fadha-ilul A’mal, maka hadis dhaif itu masih dapat digunakan.

b. Meriwayatkan hadis dhaif tidak ada halangannya apabila ada maksud tertentu, misalnya agar diketahui oleh umumnya masyarakat awam. Jadi tujuannya adlah untuk penerangan.

c. Jika sekiranya ada hadis atau beberapa hadis yang ada hubunganmakna serta pengertiannya dengan hadis dhaif itu dari jalan lain dengan sanad yang tidak dhaif atau lemah, maka hadis yang lain itu dapat dijadikan syahid atau mutabi’ dari hadis yang dhaif tadi. Syahid yang dimaksudkan disini adalah saksi sedangkan mutabi’ pula bererti pengikut. Jikalau seseorang mudawwin meriwayatkan sesuatu hadis dari Nabi saw dari suatu jalan, misalnya Anas r.a, lalu ada pula hadis lain yang semakna dengan hadis tersebut di atas jalan sahabat selain Anas r.a, maka hadis yang dari jalan selain Anas r.a itu disebut syahid. Tetapi jikalau jalan itu dari Anas pula, maka hadis yang lain ini disebut mutabi’.

( c ) sebagaimana diterangkan dalam ( a ) bahawa menggunakan hadis dhaif untuk menetapkan sesuatu hukum itu tidak boleh diterima, atau ringkasnya tidak boleh dipakai dan ditolak. Namun begitu tidaklah yang dimaksudkan itu bahawa sabda Nabi saw itu kita tidak suka menggunakan, enggan menerimanya ataupun kita menolak serta mendhaifkan atau melemahkannya. Sama sekali tidak demikian itu pengertiannya, tetapi sebabnya adalah kerana kita tidak yakin bahawa yang dikatakan hadis dhaif itu benar-benar sabda Baginda saw., sebab terdapat dikalangan rawi-rawi itu ada yang dianggap pendusta, pemalsu hadis dan lain-lain. Demikian pula halnya hadis-hadis yang digolongkan sebagai hadis dhaif, semacam hadis ma’lul, mungkar, maudhu dan lain-lain.

d. Seluruh alim ulama dan jumhur ahli hadis sependapat bahawa hadis dhaif itu dapat dipakai untuk hal-hal yang termasuk didalam fadha-ilul A’mal. Fadha-il adalah kata jamak dari kata fadhilah, ertinya keutamaan, sedang a’mal pula jamaknya ialah ‘amal, ertinya perbuatan. Tetapi yang diperselisihkan ialah mengenai ta’rif atau apa yang dimaksudkan dengan kata-kata Fadha-ilul A’mal itu sendiri. Terdapat dua pendapat didalam mendefinasikannya, iaitu ;

I. Hadis dhaif hanya boleh digunakan untuk mengamalkan sesuatu perbuatan, apabila kandungan atau maksudnya telah masuk dalam umum hadis yang sah dan dapat diterima atau umumnya Al-Quran, misalnya hadis dhaif yang menghuraikan perihal pahala solat, puasa, sedekah dan lain-lain. Jadi manakala yang tidak termasuk disitu maka tidak boleh diamalkan. Mereka yang berpendapat sebagaimana yang diatas ini ialah kerana melakukan sesuatu amalan bererti mengerjakan sesuatu hukum, padahal hukum dari sesuatu kelakuan itu tidak boleh dengan menggunakan hadis dhaif, sekalipun hanya hukum sunat atau makruh.

II. Pendapat yang kedua mengenai Fadha-ilul A’mal itu adalah kelakuan-kelakuan yang berupa keutamaan dan hanya sampai ke tingkat sunat sahaja, ertinya bukan merupakan kewajipan. Jadi mengerjakan amalan yang utama bagi mereka ini dibolehkan sekiranya menggunakan hadis dhaif, sekalipun tidak termasuk dalam kandungan umum hadis yang sah atau umum al-Quran.

Kedua golongan itu sekalipun berbeza tetapi demikian itulah hasil ijtihadnya, maka apabila salah misalnya, ijtihadnya tetap memperolehi pahala dan sekiranya benar dua pahala, sedang kalau salah satu pahalanya. Ringkasnya hal-hal seperti di atas tidak perlu diperbesar-besarkan, apa lagi dijadikan bahan perselisihan, sehingga antara segolongan dengan golongan lainnya saling salah menyalahkan dan menyebabkan permusuhan antara kaum muslimin.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar