Rabu, 27 Juli 2011

Ilmuan Islam - Mustafa As-Siba'ie



ILMUAN ISLAM – MUSTAFA AS-SIBA’IE

Mustafa as-Siba’ie dilahirkan pada tahun 1915 di bandar Hims, Syria. Beliau dilahirkan di dalam sebuah keluarga ulama. Ayahnya, Sheikh Husni as-Siba’ie adalah khatib di Masjid Hims dan salah seorang pejuang yang menentang penjajahan Perancis di Syria.

Mustafa mendapat pendidikan awal di Sekolah Masudiyyah dan merupakan seorang pelajar yang pintar disekolahnya. Beliau juga telah berjaya menghafaz al-Quran pada usia yang muda.

Ketika beliau berusia 16 tahun, beliau telah menunjukkan kesungguhan di dalam menentang penjajahan Perancis dan telah ditangkap kerana menyebarkan risalah-risalah anti penjajahan. Pada usia 18 tahun beliau telah menyampaikan khutbah semasa ketiadaan ayahnya dan isi khutbahnya ialah mengajak rakyat berjihad menentang penjajah dan sekali lagi beliau telah ditangkap.

Pada tahun 1933, beliau telah melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar di dalam fekah dan kemudiannya di dalam bidang usuluddin. Semasa di al-Azhar beliau telah berkenalan dengan Imam Hassan al-Banna dan gerakan Ikhwanul Muslimin Mesir. Beliau dan rakan-rakan sekuliah juga pernah ditngkap dan dipenjarakan selama 3 bulan oleh penjajah Inggeris di Mesir kerana terlibat dengan tunjuk perasaan menentang penjajahan pada 1941.

Seterusnya beliau telah dipindahkan ke Palestin dan dipenjarakan selama 4 bulan lagi sebelum dibebaskan dan beliau telah dilarang untuk memasuki Mesir oleh pihak Inggeris. Pada tahun 1949, beliau telah menyerahkan tesis kedoktoran beliau bertajuk Kedudukan Sunnah dalam Syariah. Ijazah kedoktoran beliau adalah dalam bidang Syariah Islamiah dan pada tahun 1950, beliau telah menjadi pensyarah di Fakulti Undang-undang Universiti Syria.

Sekitar tahun 1950-an beliau telah terlibat di dalam penggubalan undang-undang Syria yang lebih Islamik. Antara sumbangan beliau yang lain adalah membantu memasukkan pelajaran Pendidikan Islam dalam Kurikulum sekolah dan mewujudkan jurusan Syariah di Universiti Syria(Damascus).

Kemudian pada tahun 1942, beliau telah menubuhkan cawangan Ikhwanul Muslimin di Syria dan selepas lebih kurang 1 tahun, hampir 100,000 orang telah menyertai gerakan itu. Beliau juga telah turut serta mengangkat senjata menentang penjajahan Perancis di Syria pada tahun 1945 dan pada tahun 1948, pergerakkan Ikhwanul Muslimin Syria membantu di dalam perang melawan Zionis Yahudi di Palestin.

Semasa perang meletus di Terusan Suez pada tahun 1952, beliau bersama-sama dengan gerakan Ikhwan Syria telah menyatakan hasrat mahu membantu menentang Inggeris. Namun, beliau dan rakan-rakan ikhwan yang lain telah dipenjarakan dan seterusnya dibuang negeri ke Lubnan. Di Lubnan beliau telah menyemarakkan semangat jihat dikalangan pemuda di sana sehingga tertubuhnya Al-Jannah Al-Islamiyyah pada tahun 1964.

Sekembalinya daripada peperangan di Palestin, beliau telah meneruskan jihad menegakkan Islam dalam bentuk penulisan. Banyak karya dan buku yang diterbitkan telah diterjemahkan kedalam pelbagai bahasa. Antara kata-kata hikmah beliau yang terkenal adalah “Istiqamah adalah suatu jalan yang awalnya penuh dengan kemuliaan, pertengahannya dipenuhi keselamatan dan hujungnya adalah syurga”.

Mustafa telah meninggal dunia pada bulan oktober 1964 di Hims selepas menderita sakit lumpuh disebelah kiri badannya selama 8 tahun. Diberitakan sehari sebelum beliau meninggal dunia, beliau sempat menulis tiga tulisan iaitu Al-Ulama Al-Auliya Al-Muhajidun dan Al-Ulama Asy-Syuhada.

Semoga Allah merahmati beliau. Al-Fatihah.



Tidak ada komentar:

Posting Komentar