Selasa, 12 Juli 2011

Ilmuan Islam - HAMKA / Abdul Malik Abdul Karim




ABDUL MALIK BIN ABDUL KARIM

Abdul Malik Bin Abdul Karim atau lebih dikenali dengan nama HAMKA, dilahirkan pada 17hb Februari 1908 di kampung Molek, Meninjau, Sumatera Barat, Indonesia. Bapa beliau bernama Syeikh Abdul Karim bin Amrullah. Bapanya lebih dikenali dengan panggilan Haji Rasul, selepas pulang dari Mekah pada tahun 1906, bapanya menjadi pelopor kepada Gerakan Islah yang berpusat di Minangkabau.

Hamka mendapat pendidikan secara formal di Sekolah Dasar Meninjau, Indonesia hingga darjah dua. Pada tahun 1918, ketika beliau berumur 10 tahun, bapanya menubuhkan Pusat Pengajian yang diberi nama Sumatera Thawalib di Padang Panjang. Abdul Malik mendapat pelajaran agama dan bahasa Arab disitu dan masjid-masjid berdekatan. Antara guru yang pernah mengajarnya adalah Syeikh Ahmad Rasyid, Syeikh Ibrahim Musa, R.M Surjoparonto, Ki Bagus Hadikusumo dan Sutan Mansur.

Abdul Malik seorang yang suka menimba ilmu, beliau banyak menghabiskan masanya dengan membuat penyelidikan dalam beberapa bidang seperti falsafah, sejarah, politik, kesusasteraan dan sosiologi.

Beliau berupaya memahami bahasa Arab dengan baik. Tidak hairan sekiranya beliau dapat mempelajari sendiri dan mendalami karya-karya ulama terkenal dari Timur Tengah. Antara karya yang dibacanya adalah daripada pengarang terkenal seperti Abbas al-Aqqad, Zaki Mubarak, Mustafa al-Manfaluti dan lain-lain. Beliau juga mempelajari dan mendalami karya-karya yang ditulis oleh sarjana Perancis, Jerman dan Inggeris.

Abdul Malik atau HAMKA berkerja sebagai guru agama bermula pada tahun 1927. Beliau bekerja di sekolah yang terdapat di Perkebunan Tebing Tinggi, Medan. Kemudian pada tahun 1929, beliau bertugas di Padang Panjang. Pada tahun 1957 hingga tahun 1958 beliau telah ditawar bekerja sebagai pensyarah di Universiti Islam, Jakarta. Komitmennya yang tinggi sebagai seorang pensyarah dan minat yang mendalam dalam penyelidikan menjadikan beliau dilantik sebagai Reaktor Perguruan Tinggi Islam di Jakarta. Beliau juga ditawarkan menjadi profesor di Universiti Mustapo, Jakarta.

Sumbangan besar beliau dalam bidang agama menyebabkan beliau dilantik menjadi Pegawai Tinggi Agama oleh Menteri Agama Indonesia dari tahun 1951 hingga 1960. Namun jawatan itu terpaksa dilepaskan kerana Sukarno menyuruhnya memilih supaya bergiat dalam politik ataupun menjadi pegawai kerajaan.

Abdul Malik suka membaca dan mencari ilmu-ilmu baru. Beliau sering bertukar-tukar pendapat dengan tokoh-tokoh terkenal dan idea-idea baru yang diperolehinya itu digunakan dengan baik dalam usaha menjadi seorang pemidato yang hebat.

Hamka juga turut bergiat aktif didalam pertubuhan Muhammadiah, sebuah gerakan Islam di Indonesia sejak tahun 1925. Pada tahun 1946, beliau telah dilantik menjadi Ketua Majlis Pimpinan Muhammadiyah di Sumatera Barat. Pada tahun 1953 pula beliau telah diberi kepercayaan menjadi penasihat pimpinan pusat Muhammadiah.

Sejak dari tahun 1925 juga, Hamka telah menceburkan diri didalam bidang politik. Beliau menyertai parti Sarekat Islam. Tugas beliau ialah membantu parti tersebut menentang penjajah British yang datang ke Indonesia melalui pidatonya yang bersemangat. Pada tahun 1947, beliau telah dilantik menjadi ketua Barisan Pertahanan Nasional, Indonesia.

Kemudian beliau menjadi anggota perundangan parti Masyumi. Pada Pilihan Raya Umum Indonesia tahun 1955, beliau telah bertindak sebagai pemidato utama didalam pilihan raya itu. Pada tahun 1960, parti Masyumi diharamkan oleh kerajaan Indonesia. Dari tahun 1977 sehingga tahun 1981, beliau dilantik menjadi ketua Umum Majlis Ulama Indonesia oleh Menteri Agama Indonesia.

Hamka telah ditangkap dan dipenjarakan oleh Presiden Sukarno kerana dituduh pro-Malaysia. Tangkapan beliau itu tidak mematahkan semangatnya supaya terus berjuang menegakkan keadilan. Beliau menggunakan masa yang ada sebai-baiknya semasa di dalam penjara dengan menulis Tafsir al-Azhar. Selepas beliau dilepaskan dari penjara, beliau menjaddi anggota Badan Musyawarah Kebajikan Nasional, Indonesia, anggota Majlis Perjalanan Haji Indonesia dan anggota Lembaga Kebudayaan Nasional, Indonesia.

Hamka memang mempunyai bakat didalam bidang penulisan. Beliau banyak terlibat didalam menghasilkan karya-karya ilmiah dan kreatif. Karya beliau yang terkenal adalah tafsir al-Azhar. Tafsir ini ditulis didalam lima jilid dan karya kreatif seperti novel dan cerpen menjadi antara bahan pengajian dan teks sastera di Malaysia dan Singapura. Antara novelnya yang terkenal adalah Di Bawah Lindungan Kaabah, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck dan Merantau ke Deli.

Beliau juga terlibat sebagai wartawan kepada beberapa buah akhbar seperti Pelita Andalas, Seruan islam, Bintang Islam dan Seruan Muhammadiyah. Beliau juga menjadi editor majalah Kemajuan Masyarakat pada tahun 1928 dan pada tahun 1932 pula beliau telah menjadi editor dan menerbitkan majalah al-Mahdi di Makasar. Selain itu, beliau juga terlibat dalam penerbitan majalah Pedoman Masyarakat, Panji Masyarakat dan Gema Islam. Kesemua karyanya berjumlah 118 buah.

Sumbangan besarnya didalam bidang pendidikan dan penyelidikan telah diiktiraf oleh beberapa buah institusi pengajian tinggi. Beliau telah dianugerahkan Doktor Kehormat dari Universiti al-Azhar pada tahun 1958. Kemudian pada tahun 1974 beliau juga telah dianugerahkan Doktor Kehormat dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan pihak pemerintah Indonesia telah memberinya gelaran Datuk Indono dan Pengeran Wiroguno.

Sumbangan dan pengorbanan yang diberikan oleh Abdul Malik dihargai dan disanjungi di seluruh pelusuk Nusantara termasuk Malaysia dan Singapura. Beliau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 24hb Julai 1981.

Semoga rohnya dirahmati Allah. A-Fatihah.




Tidak ada komentar:

Posting Komentar