Sabtu, 16 Juli 2011

Ilmuan Islam - Badi’uzzaman Sa’id Nursi








Badi’uzzaman Sa’id Nursi

Nama sebenar bagi Badi’uzzaman adalah Sa’id Bin Mirza. Beliau dilahirkan pada tahun 1876 di Nurs satu perkampungan kecil di daerah Khizan, Turki. Keluarga beliau terdiri daripada golongan petani yang hidup dalam keadaan sederhana. Ibu dan bapanya berketurunan Kurdish dan berasal daripada salahsilah Ahl al-Bayt.

Gelaran Badi’uzzaman diberikan kepada beliau oleh gurunya yang bernama Sheikh Fathu’llah. Ia bermaksud “Keunggulan Zaman”. Namun beliau tidak mahu menerima gelaran itu kerana merasakan masih belum layak dengan gelaran itu.

Sa’id Nursi mula mencari ilmu diluar kawasan tempat tinggalnya pada usia 9 tahun. Beliau memperlajari dan menguasai ilmu-ilmu yang ada pada kitab-kitab yang muktabar. Minat beliau dalam bidang ilmu ini bermula apabila beliau ikut serta dalam majlis-majlis ilmu yang dibuat dirumah bapanya. Disitu beliau mula mendapat pendedahan awal dalam proses pembentukan mindanya.

Gelaran ulama muda yang hebat pernah dinobatkan pada diri beliau. Sa’id al-Nursi pernah dipelawa oleh Gabenor Bitlis yang bernama Umar Basha supaya tinggal bersamanya. Umar Basha mempunyai sebuah perpustakaan yang besar di dalam rumahnya. Di situ Sa’id al-Nursi berpeluang mendalami pelbagai jenis ilmu daripada pelbagai kitab yang terdapat dirumah Gabenor Bitlis selama dua tahun. Dalam tempoh tersebut, Sa’id al-Nursi sudah berjaya menghafal banyak kitab di samping mempelajari ilmu kalam,mantik,nahu, tafsir, hadis dan feqah.

Pada tahun 1897, Sa’id al-Nursi dilantik menjadi ulama oleh Gabenor Hasan Basha dan berkhidmat di Wan. Semasa berada di sana, beliau banyak berdialog dengan tokoh ilmuwan moden. Namun beliau merasakan diri beliau belum cukup mendalami ilmu-ilmu moden. Akhirnya beliau mengambil keputusan mempelajari bidang sains seperti fizik, kimia, biologi, astronomi dan ilmu kaji bumi.

Bagi memantapkan lagi ilmu yang ada, beliau turut mempelajari ilmu geografi, falsafah moden, sejarah dan matematik. Kepakaran beliau dalam cabang-cabang ilmu itu akhirnya melayakkan beliau dengan gelaran Badi’uzzaman. Kali ini Sa’id al-Nursi menerima gelaran tersebut.

Beliau telah dilantik menjadi guru di Madrasah Khur Khur. Semasa beliau berkhidmat disitu, beliau telah menggabungkan ilmu agama dan ilmu sains moden kerana bagi beliau kedua-dua ilmu tersebut tidak dapat dipisahkan.

Berbekalkan kesedaran betapa perlunya dilakukan perubahan kepada sistem pendidikan sedia ada, Sa’id al-Nursi telah pergi ke Istanbul bagi menubuhkan sebuah sekolah Islam Moden yang dinamakan Madrasah al-Zahra. Sukatan pelajarannya diambil daripada al-Azhar, Mesir. Usaha beliau didalam meningkatkan taraf pendidikan diteruskan dengan usaha membina universiti di Anatolia Timur, Istanbul. Namun usaha tersebut gagal apabila tercetusnya perang dunia pertama. Daripada situ beliau mula membuat reformasi sistem pendidikan. Beliau mahu ilmu agama dan ilmu moden dipelajari serentak.

Pada 29hb Oktober 1923, Turki telah diisytiharkan sebagai sebuah Republik yang berfahaman sekular. Perubahan tersebut tidak menjejaskan semangat Sa’id al-Nursi walau sedikitpun. Sebagai penentangan fahaman sekular, Sa’id al-Nursi menyokong pembentukan Parti Demokratik Turki. Ia bertujuan bagi mendapat pemerintahan yang adil disamping menyebarkan agama Islam.

Semasa perang dunia pertama, beliau telah menjadi pemimpin sukarelawan bagi perang Kaukaz dan Anatolia Timur. Kepahlawanan beliau telah mendapat perhatian daripada panglima-panglima tentera Turki Uthamaniah. Selepas mengalami kekalahan dalam perang dunia pertama , negara Turki telah dijajah oleh British dan beliau telah menentang pihak British. Pihak British amat marah dengan beliau dan mula membuat perancangan bagi membunuhnya, namun beliau selamat daripada rancangan membunuhnya.

Tafsir Rasa’il al-Nur adalah hasil tulisannya yang terkenal serta mendapat pengiktirafan daripada para ulama terkenal. Tafsir Rasa’il al-Nur adalah tafsir al-Quran. Karyanya turut membincangkan beberapa ilmu seperti ilmu Hadis, Falsafah, Ilmu Kalam dan Tasawuf. Karyanya mendapat sambutan baik daripada umat Islam diseluruh dunia, malah tafsir Rasa’il al-Nur turut diterjemahkan ke dalam beberapa jenis bahasa.

Antara kata-kata nasihat beliau adalah “sebaik-baik pemuda dikalangan kamu adalah mereka yang menyerupai orang tua, dan seburuk-buruk orang tua adalah mereka yang menyerupai orang muda”.

Sa’id al-Nursi mengehembuskan nafasnya yang terakhir pada 23hb Mac 1960 dan jenazahnya dikebumikan di Urfa.

Semoga roh beliau dirahmati Allah. Al-Fatihah.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar